Monday, May 24, 2010

tEGaS DeNgaN pRinSiP

Seorang Islam yang tegas dengan prinsip ialah orang yang
kuat berpegang dengan agamanya dan sentiasa mengamalkan
ajarannya. Tegas dengan hukum-hakamnya.
Memperkatakannya dengan tidak segan silu. Memperjuangannya
dengan gigih dan berhikmah di mana saja dia berada, tidak
kira di waktu mana, di dalam keadaan apa dan di dalam situasi
dan kondisi yang bagaimana pun.

Begitulah yang dikatakan orang yang ada prinsip. Ia tidak
dapat digugat oleh keadaan, dihalang oleh tempat dan dihentikan
oleh suasana, kecuali ada kuasa yang menghalang ke atas
dirinya, sedangkan dia di waktu itu tidak ada daya dan upaya
melawannya. Misalnya dia ditangkap oleh musuhnya atau dia
dibuang di suatu tempat yang dia tidak mampu melepaskan
dirinya. Maka waktu itu, banyak hal dan amalan yang biasa
dibuat tidak dapat dibuatnya oleh keadaan tadi. Dia tidak boleh
melakukannya kecuali hanya di dalam hati. Ini ertinya sudah di
dalam keadaan darurat.



ORANG ISLAM YANG TEGAS DAN TEGUH DENGAN PRINSIP

Orang yang tegas dengan prinsip, dia tidak peduli apa orang
kata, dia tidak fikir orang. Dia tidak malu-malu atau takut
kepada sesiapa. Yang dia fikir, dia dengan Tuhannya. Kerana
Islam itu benar-benar menjadi pegangan hidupnya, diyakini dan
dihayati, telah mendarah mendaging dan telah sebati dan menjadi
tabiat dirinya. Dia rasa Islam adalah hidup matinya hingga
menjadi cita-cita perjuangannya. Kalau ada amalan-amalan
Islam itu yang dia terlupa mengamalkannya, terlalu amat kesal
dirasakannya. Dan dia sangat tersinggung kalau ada orang
menentang dan menghina agamanya.

Oleh itu dia sanggup susah dengan Islam. Sanggup berkorban
untuknya. Dia lebih sayang Islam daripada dirinya sendiri bahkan
sanggup mati kerananya. Orang ini tidak akan boleh diugutugut
atau dihalang. Namun dia tetap mencari jalan mengamalkannya
dan memperjuangkannya sama ada Islam itu dapat
diamalkan atau diperjuangkan atau dia mati kerananya.


SEBAB TEGAS DENGAN PRINSIP/BERPRINSIP

Orang Islam yang tegas dengan prinsip tidak ramai sekalipun
di kalangan para pejuang dan pendakwah-pendakwah atau da’ida’i.
Oleh kerana itulah Islam amat susah diterima oleh orang
ramai sebagai cara hidup. Lebih-lebih lagi orang kafir, mereka
sangat takut dengan Islam.

Di antara sebab-sebab seseorang Islam itu tegas berpegang
dengan prinsip atau dikatakan orang ada prinsip ialah:

1. Kerana seseorang itu mendapat pendidikan yang betul dan
baik. Mungkin bernasib baik berada di dalam keluarga yang
kuat mempertahankan prinsip dan mendapat guru yang
baik pula.

2. Islam yang dipelajari oleh seseorang itu sangat dihayati
bukan sekadar ilmu atau mata pelajaran yang diwajibkan.

3. Seseorang itu ada cita-cita. Islam bukan setakat untuk dirinya
tapi inginkan agama Islam itu menjadi cara hidup di
alam sejagat ini.

4. Kerana seseorang itu benar-benar faham tentang Islam,
kemudian diamalkannya untuk diri dan keluarganya
kemudian diperjuangkannya ke tengah masyarakat.

5. Kerana seseorang itu bernasib baik bertemu dengan jemaah
Islamiah yang baik kemudian mendapat pemimpin yang
baik yang boleh menyampaikan Islam secara baik dan
pemimpin itu benar-benar boleh menjadi contoh peribadinya.

6. Seseorang itu berjiwa besar. Kerana rasa besar dan bangga
dengan agamanya yang datang dari Tuhan yang Maha Besar
dan Maha Agung. Dia rasa seronok mengamal dan memperjuangkannya.



ORANG YANG TIDAK TEGAS ATAU TIDAK TEGUH DENGAN PRINSIP

Biasanya orang Islam yang tidak teguh dengan prinsip atau
pegangan hidup dikatakan orang yang tidak ada prinsip. Dia
mengamalkan Islam itu tidak istiqamah. Kadang-kadang buat,
kadang-kadang tidak. Bertukar sahaja suasana dia pun bertukar
sikap. Berpindah saja tempat, dia longgar dengan syariat. Kalau
bergaul sahaja dengan orang yang lalai maka dia pun ikut serta
lalai. Bila berhadapan saja dengan orang-orang besar, amalan
biasa yang selalu dibuatnya dia pun malu hendak membuatnya.
Kalau ada orang yang bercakap bertentangan dengan Islam di
sesuatu majlis, lebih-lebih lagi kalau majlis itu majlis orang-orang
besar, dia diam sahaja. Sudah tidak berani lagi memberi pandangan.

Dia rasa rendah diri atau inferiority complex di dalam
majlis itu. Keberaniannya hilang. Hanya mendengar sahaja apa
yang orang kata. Begitu juga sibuk saja kerja, prinsip pun tertinggal.
Susah hati sedikit, hukum-hakam pun terlanggar. Sakit
sahaja sedikit, syariat pun cuai.



SEBAB ORANG ISLAM TIDAK TEGAS DENGAN PRINSIP

Antara sebab orang-orang Islam tidak lagi tegas dengan prinsip
adalah seperti berikut:

1. Kerana sudah jahil dengan ajaran Islam. Apabila sudah jahil,
bagaimana hendak mengamalkannya. Betapalah pula untuk
memperkatakan dan memperjuangkannya.

2. Kalaupun dia seorang yang alim, tapi tidak teguh dengan
prinsip ialah dikeranakan oleh kelemahan iman atau jiwa
lemah. Lemah iman kerana cinta dunia. Cita-cita Islam
sudah tidak ada.

3. Kerana mengamalkan Islam itu secara tradisi atau ikutikutan,
bukan atas dasar keyakinan dan kesedaran beragama.

4. Seseorang yang mengamalkan Islam itu kerana dididik oleh
suasana, bukan kerana didikan oleh satu pengajian dan
ikutan. Apabila bertukar suasana maka dia pun bertukar
prinsip hidupnya.

5. Seseorang yang belajar atas dasar ilmu atau mental exercise,
bukan atas dasar penghayatan. Dia belajar itu mungkin
tujuan makan gaji dan sebagainya. Orang itu akan hanyut
mengikut arus masyarakat walaupun dia mempunyai ilmu
Islam.

6. Seseorang yang mendapat didikan Islam secara kasar dan
paksa, bukan mendapat didikan yang penuh berhikmah
serta dapat mengikut suri teladan yang baik. Apabila bebas
daripada suasana itu, maka dia pun bebas meninggalkan
atau membuat secara cuai.

7. Seseorang yang asalnya tegas dengan prinsip, entahkan
macam mana satu masa terpengaruh dengan dunia yang
menipu, maka dia pun berubah prinsip hidupnya daripada
tegas kepada cuai mengamalkan atau lalai mengamalkannya.

8. Mungkin seseorang itu lemah kerana dia keseorangan.
Kawan-kawan tidak ada, maka di sini keberaniannya menjadi
kurang atau luntur. Maka di dalam suasana yang tertentu,
tidak berani lagi dia memperkatakan kebenaran itu
dengan tegas.

9. Boleh jadi juga seseorang itu kerana ujian yang teruk, dia
tidak tahan lalu kecewa serta diburu oleh ketakutan. Akhirnya
dia longgar atau rasa serik mengamalkan prinsip hidupnya.



ISLAM MENYURUH TEGAS, BUKAN KERAS

Ajaran Islam menganjurkan kepada kita agar tegas mengamalkannya,
tegas mengeluarkan hukum. Tegas menyampaikannya
atau memperkatakannya dan gigih memperjuangkannya di
mana saja dan di dalam keadaan apa sekalipun. Islam tidak
menyuruh kita berlaku keras tapi menyuruh tegas. Islam adalah
agama kasih sayang dan lemah lembut, bukan agama keras tapi
disuruh tegas.

Kebanyakan umat Islam terutama para pejuang dan pendakwah-
pendakwah melakukan kekerasan di dalam perjuangan
atau di dalam dakwahnya tapi dia sendiri tidak tegas mengamalkannya.
Di dalam mengamalkan, sama saja dengan orang lain.
Di dalam menyampaikan, suaranya lantang dan keras memperkatakan
hukum-hakamnya. Tegas kalau untuk orang lain tapi
untuk diri sendiri longgar dan cuai.
Di dalam menyampaikan Islam, dia mengata, mengumpat
dan menuduh kepada golongan-golongan yang tertentu. Adakalanya
hingga sampai maki-hamun, mengutuk dan menempelak
orang yang tertentu, tapi dia sendiri syariatnya cuai, akhlaknya
rosak, maruahnya tidak dijaga. Mereka menyangka cara
itulah yang dikatakan tegas.

Sebenarnya sikap mereka itu bukan tegas tapi keras. Tegas
ertinya memperkatakan hukuman yang sesuai dengan kehendak
Islam. Disampaikan dengan penuh berhikmah dan kasih sayang,
tidak ditujukan kepada mana-mana golongan tapi untuk semua,
terutama diri sendiri. Dan orang yang berkata dan memperjuangkan
itu mempunyai peribadi yang baik dan mempunyai
akhlak yang mulia kerana dia tegas mengamalkan Islam itu lebih
dahulu di dalam diri mereka dan tegas berpegang dengan
hukum. Begitu juga tegas mendidik anak dan isteri serta keluarga.
Agar mereka mengamalkan ajaran Islam itu serta sangat
menghormati hukum-hakam. Begitulah orang yang tegas
dengan prinsip.

Oleh kerana tidak tegas mengamalkan Islam tapi keras
memperkatakan dan memperjuangkannya, maka orang ramai
jadi benci dengan Islam. Lebih-lebih lagi orang kafir, mereka
takut dengan Islam. Melihat peribadi para pejuang dan para da’i
serta keluarga mereka, Islam itu tidak ada di dalam diri mereka.
Yang mereka lihat ialah kekerasan dan kekasaran. Keindahan
tidak dapat dilihat kerana bersikap keras bukan tegas.

No comments:

Post a Comment